comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengisytiharan harta: Tun Mahathir antara individu yang disiasat – SPRM

 

GUA MUSANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata ekoran penyiasatan itu, kedua-dua anaknya juga telah diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

“Saya tidak berhasrat untuk memperincikan lagi maklumat lanjut berhubung kes itu, tentang apa kesalahan yang dilakukan kesemua mereka.

“Biarkan SPRM meneruskan siasatan terlebih dahulu sehingga saya fikirkan satu masa yang sesuai untuk kita nyatakan hasil dapatan kes siasatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di tingkat 1, Bangunan Persekutuan daerah itu di sini, hari ini.

Pada 18 Januari lepas SPRM meminta kedua-dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu diminta mengulas mengenai siasatan kes menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azam berkata ada petunjuk-petunjuk baharu menunjukkan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan berbelanja menggunakan kad kredit di luar negara.

“Hasil pemantauan SPRM, beliau (Muhammad Adlan Berhan) ada menggunakan kad kreditnya dan berbelanja di beberapa buah negara.

“SPRM telah memohon kepada pihak INTERPOL bagi tujuan ‘red flag’ ke atasnya dalam kes ini dan kami masih mengesannya untuk dituduh di mahkamah,” katanya.

Ogos lepas SPRM berusaha mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Mereka ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Desa Sri Hartamas, dan Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di Subang Jaya, Selangor.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini