comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kuala Kubu Bharu: Parti Kerajaan Perpaduan mesyuarat malam ini

Keputusan mesyuarat akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan. – Foto: Facebook

KUALA LUMPUR: Sekretariat Kerajaan Perpaduan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan persediaan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut menyertai mesyuarat itu antaranya Ketua Sekreteriat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil dan Setiausaha Organisasi Kebangsaaan DAP, Steven Sim hadir sama pada mesyuarat itu.

Saifuddin Nasution berkata, hasil mesyuarat akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hadir ke WTC malam ini bagi mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Perpaduan bersama rakan pimpinan.

“Perbincangan malam ini berlangsung dengan cukup baik dan harmoni yang menjadi sebahagian dari terjemahan kepada persefahaman yang utuh, padat dan berfungsi.

“Insya-Allah, Perpaduan untuk DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya melalui catatan di Facebook.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini