comscore
Tumpuan :
Nasional

Stor haram diserbu, KPDN Kedah sita 6,900 liter diesel

Tangki minyak di stor haram di Napoh, Kubang Pasu yang menyimpan minyak diesel tanpa permit. – FOTO: KPDN

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah bertindak menyerbu sebuah stor haram menyimpan minyak diesel tanpa lesen dan permit, semalam.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaluddin berkata, serbuan jam 3 petang yang disertai lapan penguat kuasa KPDN Kedah berdasarkan risikan di stor tidak bernombor di Napoh, Kubang Pasu.

Ketika serbuan, terdapat enam lelaki iaitu lima warga tempatan dan seorang warga asing dipercayai pekerja di situ berada di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui sejumlah minyak diesel yang disimpan di premis berkenaan tanpa lesen atau permit sah.

“Berikutan itu, semua enam pekerja di lokasi kejadian ditahan untuk membantu siasatan dan semua mereka berusia antara 20 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, pihaknya kemudian menyita 6,900 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM14,145 dan 10 unit tangki IBC, sebuah kenderaan berpendaftaran asing dan dua kenderaan berpendaftaran tempatan untuk siasatan lanjut.

Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM93,245.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Muhammad Nizam berkata, KPDN Kedah turut mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas serta amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Beliau berkata, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini