comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suspek pecahkan cermin kereta Safiq Rahim diburu polis


JOHOR BAHRU: Polis sedang giat mengesan suspek yang memecahkan cermin kereta bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim yang dilapor dipecahkan di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Jalan Sri Gelam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan suspek yang terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam tadi.

Safiq Rahim (kanan) dan (kiri) cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali di kawasan pusat latihan JDT malam tadi. – Foto: Safiq Rahim/ Instagram

Terdahulu, Safiq memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali, di kawasan pusat latihan JDT.

Menerusi laporan polis dimuatnaik, Safiq melaporkan beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan kira-kira jam 10.05 malam tadi.

“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

“Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini