comscore
Tumpuan :
Politik

PRK KKB: DAP hargai kerjasama parti komponen Kerajaan Perpaduan 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika ditemui media hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: DAP tidak akan memaksa mana-mana individu atau parti untuk membantu jentera Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, tumpuan sebaliknya akan diberikan untuk mempergiat usaha memperkukuhkan kedudukan kerajaan Selangor dan memenangkan calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira keutamaan untuk meyakinkan pengundi yang akan membuat pilihan bagi menentukan wakil rakyat mereka.

“Kita amat hargai pihak yang membantu (jentera Kerajaan Perpaduan berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu), manakala yang tidak membantu, kita tak paksa kerana ia adalah hak mereka.

“Saya tak perlu bergaduh dengan mereka kerana paling utama adalah soal pengundi yang akan membuat keputusan dan memilih wakil rakyat mereka, sebaliknya bukan soal parti.

“Paling penting adalah memujuk dan meyakinkan pengundi bahawa calon Kerajaan Perpaduan yang terbaik untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

“Selain itu, kita perlu memberi penjelasan mengenai kelebihan memilih kita supaya kerajaan lebih stabil, kukuh dan dapat membawa kemajuan serta pembangunan di sini,” katanya ketika ditemui selepas proses Penamaan Calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini