comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRK Kuala Kubu Bharu: Calon Kerajaan Perpaduan dibentangkan kepada PM esok


Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan sudah ada calon yang akan mewakilinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei nanti.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun apabila ditanya wartawan Buletin TV3 siapakah gerangannya dan dari parti mana, beliau enggan menamakannya.

Beliau sebaliknya mahu identiti calon tersebut tidak mewakili kepartian tetapi lebih menyeluruh mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Sebab kalau kita letakkan calon ini mewakili Kerajaan Perpaduan dia akan menghasilkan tanggungjawab bersama yang lebih kuat untuk mendorong kerja-kerja jentera kita nanti berbanding kalau kita letak identiti kepartian. Yang kita nak bawa ini adalah kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan. Jadi kita tidak menamakan. Sebab ini bukan dalam bidang kuasa kita, kuasa diperingkat kepimpinan tertinggi parti.” Katanya apabila ditemui di lobi Menara Dato Onn jam 12 tengah malam tadi.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan persediaan jentera bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Hadir sama, Ketua Sekreteriat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut serta Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, dan Setiausaha Organisasi Kebangsaaan DAP, Steven Sim.

Ditanya lagi, berapa ramai calon yang ada dalam senarainya, Saifuddin Nasution tidak menjawab tetapi memaklumkan ia akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

“Kita telah capai beberapa keputusan seperti menamakan individu yang bertanggungjawab bagi menjalankan jentera kempen dan sebagainya, juga kita selaraskan isu-isu peringkat nasional dan peringkat negeri, kita kaji profil kawasan, peratusan pengundi melayu, cina india dan lain-lain, kita profilkan pula dari segi garis pendapatan, tahap pendidikan, bekerja di sektor kerajaan atau sektor swasta,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, mesyuarat itu turut memperhalusi kesemua tren pengundian melibatkan 16 daerah di DUN Kuala Kubu Bharu.

“Sangat terperinci cara kami persiapkan data-data dan strategi. Tetapi itu akan hanya kita boleh perakukan setelah sekretariat bentangkan ke majlis presiden esok”

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini