comscore
Tumpuan :
Sukan

Indonesia singkir Korea Selatan, selangkah ke Paris 2024

Rafael Struick (kiri) meraikan gol pertamanya buat Indonesia ketika menentang Korea Selatan pada suku akhir Piala Asia B-23 di Doha, Qatar awal pagi tadi. – Foto the-afc.com

DOHA: Skuad muda Indonesia mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Korea Selatan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Asia B-23 2024 awal pagi tadi.

Kemenangan 11-10 menerusi penentuan penalti yang diraih skuad Garuda Muda selepas perlawanan terikat 2-2 turut menyaksikan Korea Selatan gagal mara ke Sukan Olimpik buat kali pertama sejak 1980-an.

Rafael Struick meletakkan Indonesia di depan pada minit ke-15 di Stadium Abdullah Bin Khalifa, kelebihan itu bagaimanapun terpadam selepas jaringan sendiri Komang Teguh pada minit ke-45.

Namun, Struick yang beraksi bersama kelab Belanda, ADO Den Haag kembali meletakkan skuad kendalian Shin Tae Yong di depan apabila meledak gol pada masa kecederaan babak pertama.

Korea Selatan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Jeong Sang Bin pada minit ke-84 walaupun mereka beraksi 10 pemain selepas Lee Young Jun dibuang padang.

Pemenang kemudian terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan.

Drama penentuan penalti berakhir dengan Pratama Arhan muncul wira Indonesia apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir selepas penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari menyelamatkan sepakan Lee Kang Hee.

Indonesia, yang pernah layak sekali ke Sukan Olimpik Melbourne pada 1956, berpeluang memastikan tempat ke Sukan Olimpik ketika tiga pasukan terbaik daripada kejohanan Piala Asia B-23 layak secara automatik manakala pasukan tangga keempat akan berdepan Guinea bagi playoff Asia-Afrika bulan depan.

Jepun terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan menyingkirkan tuan rumah, Qatar 4-2 selepas masa tambahan dan berpeluang merebut slot ke Olimpik buat kali kelapan berturut-turut. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini