comscore
Tumpuan :
Sukan

Man City semakin menghampiri kejuaraan EPL musim ke-4 berturut-turut

Pemain Manchester City, Kevin De Bruyne melakukan tandukan terbang untuk menjaringkan gol pertama menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

BRIGHTON, England: Dua gol Phil Foden membolehkan Manchester City menewaskan Brighton 4-0 sekaligus melonjak penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu hanya satu mata di belakang pendahulu Arsenal awal pagi tadi.

Dengan kemenangan ini, skuad kendalian Pep Guardiola yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan pasukan tangga ketiga Liverpool, bakal dinobat juara bagi musim keempat berturut-turut jika mereka menang baki lima perlawanan terakhir.

City tampak berada dalam mood yang hebat di Stadium Amex sebaik Kevin De Bruyne menanduk masuk pada minit ke-17 bagi membolehkan mereka mendahului pada awal permainan.

Penyerang England, Foden kemudiannya meledak dua gol sebelum rehat pada minit ke-26 dan 34 untuk memastikan kemenangan.

Julian Alvarez kemudian menamatkan kemarau jaringannya pada minit ke-62 bagi memastikan ketiadaan penyerang Erling Haaland tidak dirasai selepas masalah otot mengetepikannya bagi perlawanan kedua berturut-turut.

Pemain Manchester City, Phil Foden (kiri) merambat masuk gol ketiga pasukannya ketika menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

“Ia keputusan yang bagus buat kami, amat bagus,” kata Guardiola.

“Kami sedar jurangnya amat tipis. Kami perlu menang semuanya. Setiap perlawanan kami semakin menghampiri.”

Kekalahan mengejut Liverpool di Everton awal pagi semalam amat dialu-alukan City dalam perebutan kejuaraan selepas Arsenal membelasah Chelsea 5-0 awal pagi kelmarin.

Dengan sekurang-kurangnya empat gol dalam setiap empat perlawanan terakhir liga, City kelihatan mendapat semula prestasi terbaik tepat pada masanya sekali lagi.

Penyerang Manchester City, Julian Alvarez (kanan) meraikan gol keempat ketika bertemu Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

FOTO: DILAMPIR
Penyerang Manchester City, Julian Alvarez (kanan) meraikan gol keempat ketika bertemu Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Namun Guardiola memberi amaran: “Apa yang berlaku terhadap Liverpool, dua kekalahan berturut-turut, ia boleh berlaku terhadap Arsenal, ia boleh berlaku terhadap kami.

“Apa yang penting kami masih berada di sana. Ada banyak lagi perlawanan yang perlu ditempuhi.”

City, yang belum tewas dalam 18 perlawanan liga, akan berkunjung ke Nottingham Forest Ahad ini, manakala Arsenal menentang Tottenham, beberapa jam sebelumnya. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini