PETALING JAYA: Aksi final Piala Uber 2024 di Chengdu, China esok menyaksikan tuan rumah menentang Indonesia untuk menentukan kejuaraan.
Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung pagi tadi, China menjinakkan Jepun 3-0, manakala Indonesia mengenepikan juara bertahan Korea Selatan 3-2.
Perseorangan pertama tuan rumah, Chen Yu Fei menghadiahkan mata pertama apabila mengalahkan Aya Ohori 21-18, 21-15.
Chen Qing Chen-Jia Yi Fan ditentang hebat beregu Jepun gandingan Nami Matsuyama-Chiharu Sida sebelum meraih mata kedua, menang 14-21,21-13, 23-21 pada aksi yang memakan masa 1 jam 25 minit.
China memuktamadkan kemenangan 3-0 apabila perseorangan kedua He Bing Jiao mengalahkan Nozumi Okuhara 21-8, 21-18.
Pertarungan Indonesia menentang Korea Selatan lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata.
Perseorangan ketiga, Komang Ayu Cahya Dewi memastikan kemaraan Indonesia ke perlawanan akhir apabila meraih mata kemenangan 3-2, mengalahkan Kim Min Sun 17-21, 21-16, 21-19.
Indonesia sebelum itu mendahuhui 1-0 menerusi perseorangan pertama Gregoria Mariska Tunjung yang menewaskan Sim Yu Jin 21-15,21-13.
Seperti diduga Korea Selatan mengikat kedudukan 1-1 hasil kemenangan 21-6, 21-18 beregu pertama, Baek Ha Na-Lee So Hee ke atas Apriyani Rahaya – Siti Fadia Silva Ramdhanti.
Perseorangan Indonesia nyata sukar digugat, apabila Ester Nurumi Tri Wardoyo yang tampil selaku perseorangan kedua mengubah kedudukan 2-1 menundukkan Kim Ga Ram 20-22, 21-16, 21-12.
Kedudukan kembali terikat 2-2, apabila beregu kedua Korea Jeong Na Eun-Kong Hee Yong menumpaskan Lanny Tria Mayasari – Ribka Sugiarto 21-15,21-14.
Sebagai rekod Korea Selatan bergelar juara pada edisi 2022 mengejutkan China 3-2.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.