comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Saya berminat untuk ke Liverpool’ – Slot

Jurulatih Feyenoord, Arne Slot berminat untuk menggantikan Jurgen Klopp di Liverpool. – FOTO: Reuters

PARIS: Pengendali Feyenoord, Arne Slot berkata, kelabnya dan Liverpool sedang berunding untuk mencapai persetujuan buatnya menjadi pengurus kelab gergasi Liga Perdana Inggeris menggantikan Jurgen Klopp.

“Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan mengenainya adalah kedua-dua kelab sedang berunding,” kata Slot kepada ESPN.

“Jelas sekali saya berminat untuk ke Liverpool. Kini saya menunggu sama ada kedua-dua kelab mencapai satu persetujuan. Saya amat yakin mengenainya.”

Menurut ESPN, satu daripada perkara yang dirunding bagi pelepasan jurulatih berusia 45 tahun itu adalah bayaran pampasan dengan kelab Belanda itu yang meminta sekitar 10.5 juta euro (RM53.8 juta).

“Kedua-dua kelab perlu melakukan tugas mereka,” kata Slot. “Dan kemudian saya menunggu. Saya perlu menghormatinya. Ia jelas akan diketahui dalam beberapa hari akan datang.”

Slot berpindah ke Feyenoord pada 2021 selepas memukau dalam peranan pertamanya dalam pengurusan di AZ Alkmaar.

Beliau mengemudi kelab gergasi Belanda itu ke final Liga Konferens Europa pada hujung musim sulungnya, yang mana mereka tewas tipis 1-0 di tangan AS Roma kendalian Jose Mourinho.

Feyenoord kemudian merangkul mahkota kejuaraan liga kali kedua dalam tempoh 24 tahun musim lalu sebelum mengikat Slot dengan kontrak baharu tiga tahun.

Pengendali Bayer Leverkusen yang juga bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso menjadi pilihan utama kelab The Reds untuk menggantikan Klopp yang berkhidmat di Anfield selama sembilan tahun.

Bagaimanapun Alonso menyatakan komitmennya untuk terus bersama Leverkusen selepas mengemudi mereka bagi kejuaraan sulung Bundesliga.

Jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim turut dikaitkan dengan kekosongan di Liverpool namun dilaporkan mengadakan rundingan bersama West Ham untuk menggantikan David Moyes musim depan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini