comscore
Tumpuan :
Bencana

89 Lokasi Utama Banjir Di Negeri Sembilan

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kerajaan negeri mengenal pasti 89 tempat di lapan daerah di negeri ini sebagai lokasi utama berlaku banjir, berbanding 81 sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir berlaku dalam masa terdekat.

Katanya, ia termasuk mengenal pasti pusat perpindahan sementara (PPS) yang akan turut membabitkan beberapa sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah berasrama serta pusat latihan yang mempunyai kemudahan lengkap.

“Kita mahu memastikan mangsa banjir dapat ditempatkan di tempat yang selesa dan mempunyai kemudahan lengkap.

“Selain itu, kami sudah mewujudkan bilik gerakan banjir yang menghubungkan dengan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan pasukan keselamatan.

“Kita turut menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang dalam menyediakan pakej bantuan sesuai untuk menangani banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Abdul Malek dan ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri serta ketua jabatan.

Aminuddin berkata, pihaknya mengakui bimbang dengan kemungkinan banjir akan melanda di kawasan yang tidak dijangka seperti berlaku pada awal tahun ini dan Disember tahun lalu.

“Sebagai contoh di mana sebelum ini terdapat 326 kawasan yang dilanda banjir walaupun lokasi utama hanya ada 81,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpulkan seramai mungkin sukarelawan dalam kalangan golongan muda bagi membantu pasukan penyelamat ketika banjir. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini