comscore
Tumpuan :
Bencana

Banjir Lumpur Badai Rumah Penduduk Kampung Gua Air

Foto: BH

GUA MUSANG: Dua keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kediaman mereka dibadai banjir lumpur selama kira-kira sejam dalam kejadian di Kampung Gua Air dekat Pos Pulat di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, seorang mangsa kerugian lebih RM20,000 apabila kolam ikan yang diusahakan turut ditenggelami banjir lumpur.

Mangsa, Zulkifli Abdul Rahman, 53, berkata ketika kejadian dia bersama enam ahli keluarga dan dua pekerja terpaksa berlari menyelamatkan diri ke tempat yang lebih tinggi.

“Akibat banjir lumpur semalam, habis semua ikan dalam kolam hanyut dibawa arus. Anggaran kerugian kira-kira RM20,000 kerana semua ikan sudah boleh dijual.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, ketika itu hujan lebat dan air naik secara mendadak sehingga kami terpaksa keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Kampung Gua Air, Pos Pulat, di sini hari ini.

Zulkifli berkata, ada ikan yang dihanyutkan daripada kolam akibat banjir lumpur itu, berjaya ditangkap penduduk kampung.

Seorang lagi mangsa, Yusri Omar, 37, berkata kejadian malam kelmarin, adalah yang terburuk selama dia tinggal di kampung itu sejak lima tahun lalu.

Katanya, kejadian berlaku jam 10 malam dan keadaan hujan yang sangat lebat.

“Ketika kejadian, hujan sangat lebat dan air naik begitu cepat, dengan mendukung anak, saya terpaksa meredah air setinggi paras lutut menyelamatkan diri kerana bimbang rumah yang didiami akan dihanyutkan arus deras.

“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa berlaku. Bagaimanapun, akibat kejadian itu, kereta saya rosak dan semua makanan yang ada di rumah turut dihanyutkan air.

“Selepas sejam, banjir surut membolehkan saya bersama anak kembali ke rumah. Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ini ada ujian Allah buat kami anak beranak,” katanya yang tinggal bersama anak perempuan berusia lapan tahun.

Yusri mendakwa, banjir lumpur kerap berlaku di kampung itu setiap kali hujan lebat, namun yang berlaku malam tadi adalah yang terburuk.

“Adakalanya sebulan berlaku sehingga lima kali banjir lumpur di kawasan rumah saya, tetapi yang semalam adalah yang terburuk sehingga kolam ikan yang saya usahakan secara kecil-kecilan juga dihanyutkan arus deras,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini