comscore
Tumpuan :
Bencana

Penduduk Dakwa Pam Air Lambat Dihidupkan

Keadaan banjir yang melanda Taman Sri Muda semalam.

SHAH ALAM: Hujan dua hari berturut-turut sejak semalam menimbulkan keresahan dan kebimbangan bagi penduduk sekitar Taman Sri Muda.

Meskipun hari ini, hujan tidak selebat semalam, banjir kilat petang semalam mencetuskan trauma kepada mereka apabila mengenangkan kejadian banjir besar Disember tahun lalu.

Penduduk juga mendakwa kelewatan membuka pam air berhampiran menyebabkan banjir kilat petang semalam.

Eommy Saideh, 28, yang tinggal di Jalan Riang 3 sejak enam tahun lalu, berkata sekiranya pam air dibuka lebih awal, kemungkinan masalah banjir kilat dapat dielakkan.

“Semalam hujan saya ada di rumah, gelisah dan takut sebab kalau boleh tidak mahu kejadian banjir Disember lalu berulang lagi, tapi apa boleh buat.

“Risau sebab banyak kos dikeluarkan untuk baik pulih rumah yang rosak akibat banjir termasuk membeli semula barang elektrik sebab banjir mencecah siling rumah pada Disember tahun lalu.

“Harap pihak berkuasa lihat keadaan longkang (banyak sampah) dari segi penyelenggaraan. Paling penting pam air, lambat buka pam air, air lambat surut dan air di rumah saya surut pada kira-kira jam 7 malam,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kebimbangan itu turut menghantui jirannya, Wong Chee Jiang sekeluarga yang tinggal di situ mencecah 30 tahun dan berdepan banjir dua kali banjir iaitu sebelum tahun 2000 dan Disember tahun lalu.

Chee Jiang, 50, berkata ketika hujan lebat semalam dia yang berada di tempat kerja dihubungi keluarganya di rumah mengenai hujan serta banjir kilat itu.

“Kami takut sebab air sudah masuk ke perkarangan laman rumah, kalau hujan lebat macam ini dan banjir lagi saya sekeluarga kena pindahlah.

“Siapa boleh tahan macam ini walaupun rumah ini saya beli sejak 10 tahun lalu, saya juga baru ganti semua perabot dan barang rumah yang rosak akibat banjir hari itu.

“Satu perkara lagi ini berkaitan pam air, pam tidak dibuka awal, pam juga banyak sampah, begitu juga keadaan longkang di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan hari ini jika berlaku hujan.

“Bomba membuat pemantauan jika hujan. Bot sudah dibawa balik ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam semula dan akan digerakkan ke lokasi jika keadaan memerlukan,” katanya. – Berita Harian

Loading...
Terkini