comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

11 syarikat Malaysia sertai misi pemecutan eksport ke China

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 syarikat Malaysia akan menyertai misi pemecutan eksport (EAM) ke China secara maya pada 16-17 Novmber, 2022, anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Bank.

Dalam kenyataannya, MATRADE berkata ini juga sebagai kelangsungan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk pulih dalam tempoh pasca-pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kerjasama strategik itu memaparkan kepentingan sinergi dalam ekosistem perdagangan bagi memperkukuh daya saing perdagangan Malaysia seperti disarankan oleh Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp).

EAM merupakan platform alternatif yang boleh digunakan oleh syarikat Malaysia bagi menembusi pasaran, memanfaatkan penglibatan pemain pasaran berprofil tinggi dan berkualiti yang mencari peluang perniagaan baharu.

Pada masa sama, MATRADE akan terus mewujudkan serta memanfaatkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi dan persatuan industri perdagangan dalam melaksanakan program-program berkaitan eksport untuk menghasilkan lebih banyak peluang bagi masyarakat perniagaan.

China yang juga antara destinasi eksport utama Malaysia, juga menawarkan peluang peniagaan yang besar bagi perniagaan membabitkan pelbagai industri, kata MATRADE.

Perdagangan Malaysia dengan China telah meningkat 18.5 peratus kepada RM360.56 bilion dalam tempoh Januari-September 2022 berbanding sembilan bulan pertama pada 2021.

Eksport pula meningkat 13.4 peratus kepada RM155.45 bilion didorong oleh peningkatan eksport produk elektrikal dan elektronik, gas asli cecair serta bijih logam dan logam sekerap manakala import China menokok 22.7 peratus kepada RM205.11 bilion. – BERNAMA

Loading...
Terkini