comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

19 peratus pekerja gig mahu jadikan kerjaya jangka panjang

Foto hiasan

 

KUALA LUMPUR: Seramai 19 peratus pekerja gig di Malaysia merancang untuk menjadikan kerjaya itu sebagai pekerjaan jangka panjang, demikian mengikut kajian oleh Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Pusat 4IR).

Ketua Pusat 4IR Malaysia, Fabian Bigar, berkata penemuan utama lain daripada kajian dibuat pihaknya mendedahkan bahawa pekerja gig menghargai fleksibiliti, kebolehcapaian dan pendapatan tambahan yang disediakan oleh ekonomi gig.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation berkata, individu tertarik kepada semua jenis kerja gig, sama ada berasaskan platform atau bukan platform, disebabkan oleh peluang pendapatan tambahan yang fleksibel dan boleh diakses yang ditawarkan.

“Hampir 80 peratus pekerja gig berumur 25 tahun ke atas, dengan segmen yang besar berada dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun. Tambahan lagi, 60 peratus memiliki diploma atau kelayakan yang lebih tinggi.

“Penemuan lain ialah 70 peratus pekerja gig terbabit dalam kerja sambilan, menyumbang secara purata 37 peratus kepada jumlah pendapatan mereka, menunjukkan ia berfungsi sebagai sumber pendapatan tambahan dan bukannya sumber utama,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kertas putih bertajuk ‘Apakah Yang Pekerja Gig Mahukan’ di sini, hari ini.

Kajian yang dibuat selama hampir lima bulan bermula awal tahun ini disertai 1,500 pekerja gig dari seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika menyampaikan ucapannya secara maya berkata, pekerja gig telah menjadi bahagian penting dalam ekonomi digital sebagai platform di Malaysia dan rantau ini.

“Justeru, dengan kerjasama Ipsos Malaysia, pusat revolusi itu berbesar hati untuk menyerlahkan pandangan penting mengenai pekerja gig dan perkara yang mereka paling hargai.

“Selain itu, pusat ini akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan digital literasi dan keterangkuman dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini