comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

28 Syarikat Pemula Niaga Terima Geran Cradle Bernilai RM8.24 Juta

FOTO: Cradle Fund

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd meluluskan 28 syarikat pemula niaga untuk program CIP Spark dan CIP Sprint dengan nilai geran berjumlah RM8.24 juta setakat September 2022.

Kedua-dua program itu dilancarkan pada Mac 2022 untuk menyokong pembangunan dan pengkomersialan ekosistem pemula niaga.

Naib Presiden Kanan, Juliana Jan berkata syarikat pemula niaga peringkat awal akan dibantu menerusi geran itu untuk mengukuhkan tawaran produk serta model perniagaan masing-masing selain membolehkan mereka bersedia ke peringkat seterusnya untuk pengumpulan dana bagi pengembangan pada masa depan.

“Menerusi usaha membantu syarikat pemula niaga ini, kami percaya ia akan merapatkan jurang untuk mereka merentas ‘valley of death’ dalam kitaran hayat permula niaga di samping kami membantu mempercepat pengkomersialan produk,” katanya pada majlis pengumuman penerima geran itu di sini, pada Rabu.

‘Valley of death’ atau ‘lembah kemusnahan atau kematian’ merupakan satu istilah dalam ekosistem pemula niaga yang merujuk kepada kesukaran untyuk menampung aliran tunai yang negatif semasa peringkat awal sehingga syarikat pemula niaga mencapai aliran tunai yang mampan.

Sebanyak 11 syarikat pemula niaga diumumkan sebagai penerima geran termasuk perusahaan sosial, Beebag, yang menghasilkan beg boleh guna semula pintar; CoKeeps, platform yang memudahkan aktiviti aset digital; dan Officio.Work, aplikasi berasaskan web tempat kerja digital yang direka untuk membantu perniagaan memodenkan operasi.

Penerima lain ialah Apping Technology Sdn Bhd yang menyediakan penyelesaian perniagaan disesuaikan untuk pendigitalan dan automasi; Green QR yang menawarkan Retail Tech 5.0 atau Online Merge Online terkini; serta Cloud Theatre, platform yang menyediakan pengalaman teater digital secara langsung.

Selain itu De Eco SR Hygience yang menghasilkan produk disinfeksi udara dan permukaan; Pinetop Technologies yang terlibat dalam platform Fleetata digital; Core Halal, penyelesaian digital halal; Delyva, sistem tempahan penghantaran berbilang kurier dalam talian; serta Neuon Ai, pemaju platform pengurusan aset jalan raya, Roadplus, juga diumumkan sebagai penerima geran.

CIP Spark adalah geran pembangunan bersyarat manakala CIP Sprint pula ialah geran pengkomersialan boleh tukar yang menawarkan pembiayaan untuk tempoh 18 bulan. – BERNAMA

Loading...
Terkini