comscore
Tumpuan :
Nasional

Myhackathon Tarik Perhatian Pelabur, Bantu Lebar Sayap Syarikat Pemula Tempatan

PUTRAJAYA: Program MyHackathon 2022 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) dapat menarik perhatian pelabur terhadap syarikat pemula niaga teknologi yang diperkenalkan syarikat-syarikat pemula tempatan serta membantu melebarkan sayap perniagaan ke peringkat global, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis pengumuman pemenang MYHackathon 2022 Kohort Pertama hari ini, beliau berkata pengiktirafan dan penganugerahan geran kepada pemenang program itu akan menjadi permulaan penting serta platform untuk syarikat terbabit membuktikan kemampuan serta kepakaran yang dimiliki setanding negara maju lain.

MYHackathon 2022 adalah kesinambungan acara MYHackathon 2020, platform yang diwujudkan untuk usahawan teknologi, inovator, jurutera perisian dan rakyat Malaysia bagi menghasilkan idea bernas untuk membantu kerajaan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam agar segala manfaat sampai ke akar umbi.

MYHackathon 2022 bertemakan ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’ yang bermula sejak 27 Julai lepas, telah menerima 433 penyertaan daripada pelbagai latar belakang kepakaran di seluruh negara, antaranya dalam rekaan produk, perisian dan kecerdasan buatan.

Duckarts Studio, yang memperkenalkan aplikasi pengumpulan data dan pemantauan sumber serta logistik dalam bentuk rangkaian bekalan ~$LICA (Logistic Interface Computive Automation), muncul juara dalam senarai lima projek terbaik MYHackathon 2022.

Empat projek lain adalah aplikasi Kapitani oleh Kapitani Sdn Bhd, ExoRobo-Badang (The Badangs), Artemis (A2Tech Sdn bhd) dan Sistem Pengesanan Dron (FlyBots Technology). – BERNAMA

Loading...
Terkini