comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia Malaysia perkukuh kedudukan di Asia, perluas kehadiran di Indonesia

Riad (10 dari kiri) pada majlis sambutan penerbangan sulung AirAsia ke Kertajati hari ini – Foto ihsan AirAsia

MAJALENGKA (INDONESIA): AirAsia Malaysia memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukannya di Asia berikutan kemerosotan selama tiga tahun dalam industri pelancongan disebabkan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Riad Asmat berkata dengan memulakan laluan baharu di Kertajati, Indonesia, hari ini, penting bagi syarikat untuk memperluas kedudukannya di Indonesia.

“Pada masa ini, kami melakukan penerbangan ke 12 destinasi di Indonesia dari tempoh pandemik dan terdapat banyak perkara untuk kami perlu memulihkan semula kedudukan kami kepada (paras) sebelum pandemik.

“Diharapkan, kami akan berkembang lagi dan tidak lama lagi, kami akan melancarkan laluan baharu, khususnya di Indonesia,” katanya kepada pemberita Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati, Indonesia, di sini hari ini.

AirAsia Malaysia hari ini meraikan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Kertajati di Jawa Barat, Indonesia.

Penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 9.05 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati pada 10.20 pagi waktu tempatan.

AirAsia merupakan syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kertajati, Indonesia, menawarkan dua penerbangan secara mingguan dan ia adalah satu-satunya hubungan antarabangsa dari Kertajati, membawa kawasan metropolitan Bandung Raya dan Cirebon serta sebahagian wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah lebih dekat dengan Kuala Lumpur.

Riad berkata sebagai sebuah kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai hubungan yang luas di ASEAN dan Asia Pasifik, bersama syarikat sekutunya, Indonesia AirAsia, mereka berbesar hati untuk terus memainkan peranan dalam membawa pelancong asing secara terus ke pelbagai bandar popular di Indonesia dan Malaysia.

“Kami berharap dapat menyumbang dengan ketara kepada sasaran kedua-dua kerajaan untuk menarik jutaan pengunjung asing pada 2023,” katanya.

Sempena meraikan penerbangan sulungnya, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Kertajati daripada RM141 untuk sehala.

Tambang dengan nilai tambah juga boleh didapati untuk penerbangan pergi balik daripada 616,600 rupiah untuk termasuk semua dan sehala.

AirAsia menawarkan promosi dari sekarang hingga 21 Mei 2023, untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Dis 2023. – BERNAMA

Loading...
Terkini