comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia dijangka mudah ke suku akhir Piala Thomas, skuad wanita meniti laluan sukar

Lee Zii Jia antara pemain sandaran negara meraih mata pada saingan Piala Thomas. – FOTO: Ihsan BAM

PETALING JAYA: Di atas kertas tiada masalah buat skuad Piala Thomas di Chengdu, China, bermula 28 April sehingga 5 Mei depan, selepas undian yang berlangsung hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama gergasi Eropah yang juga juara edisi 2016, Denmark selain Hong Kong serta Algeria dengan dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Pada majlis undian yang disiarkan secara langsung dari Chengdu, juara bertahan, India berdepan ujian getir apabila diundi bersama juara 14 kali, Indonesia, Thailand dan England dalam Kumpulan C.

Manakala China selaku tuan rumah yang kali terakhir muncul juara pada edisi 2018, diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Korea Selatan, Kanada serta Australia.

Pada edisi 2022 di Bangkok, skuad negara tewas 2-3 di tangan India dalam aksi suku akhir dengan kali terakhir Malaysia menjulang trofi berprestij itu adalah pada 1992 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2016 di Kunshan, China sebelum tewas 2-3 kepada Denmark.

Sementara itu, dalam saingan Piala Uber pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Meskipun bernasib baik tidak sekumpulan dengan pasukan handalan China, Jepun dan Korea Selatan, skuad wanita dijangka tetap berdepan kesukaran menentang Thailand dan Taiwan.

Kali terakhir skuad wanita berjaya melepasi saingan kumpulan pada 2010.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini