comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Akaun 3 KWSP beri pengeluaran fleksibel, rancang diperkenal dalam 2 tahun untuk pencarum baharu

FOTO: NSTP

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk memperkenal Akaun 3 bagi pencarum baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.

Akaun baharu ini adalah untuk pencarum yang lahir pada 2010 dan ke atas dan boleh dikeluarkan secara fleksibel, bila-bila masa sahaja.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, berkata cadangan baharu ini bertujuan membantu pencarum terutama yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk menampung keperluan kecemasan masing-masing.

“Ini akan membolehkan mereka menyimpan dan berharap (mendapat) gandaan melalui dividen di samping memenuhi sebarang keperluan tunai segera kerana 50% isi rumah Malaysia tidak dapat mengumpul RM1,000 untuk menampung kecemasan,” katanya pada sidang media KWSP secara maya: Usaha KWSP ke arah Memastikan Kecukupan Pendapatan Persaraan, hari ini.

KWSP merancang memperuntukkan caruman antara 5 hingga 10 peratus bagi Akaun 3 yang akan dikreditkan secara automatik.

Ketika ini, 70 peratus caruman dimasukkan ke dalam Akaun 1 pencarum manakala baki 30 peratus ke Akaun 2.

“Apabila kita bercakap tentang kecemasan, boleh melibatkan apa sahaja (keadaan). Jadi kami akan menyerahkannya kepada pertimbangan pencarum dan kami akan mengolah nisbah untuk semua akaun. Apa yang berlaku adalah dalam pada kami memperuntukkan beberapa peratusan ke Akaun 3 untuk fleksibiliti penuh, kami juga akan meningkatkan peratusan yang masuk ke Akaun 1,” jelas beliau.

Akaun 3 juga mungkin menawarkan dividen lebih rendah berbanding Akaun 1 dan 2 kerana ia akan berfungsi seperti akaun simpanan.

Untuk rekod, rakyat Malaysia berusia seawal 14 tahun boleh membuka akaun KWSP.

Loading...
Terkini