comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat mengurus umrah lesap, 10 sahabat kerugian lebih RM92,000

FOTO: NSTP

KLUANG: 10 orang sahabat gagal menunaikan umrah selepas syarikat yang sepatutnya menguruskan ibadah mereka ‘lesap’ bersama wang yang telah dilunaskan berjumlah RM92,490.

Difahamkan mereka membuat pembayaran itu melalui pindahan wang dalam talian kepada akaun syarikat yang beralamat di Putrajaya.

Menurut salah seorang mangsa yang juga pesakit buah pinggang, Rosman Harun, 56, dia membayar RM24,170 bagi pakej umrah untuk tiga orang termasuk ibunya.

Katanya, wang berkenaan diperoleh melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya yang disimpan sejak 2017.

“Saya percaya dengan pakej umrah berkenaan disebabkan salah seorang daripada kami sudah menunaikan umrah melalui syarikat berkenaan pada 13 Febuari 2022.

“Saya tengok perjalanannya cantik dan tiada masalah. Atas sebab itu, apabila diminta membuat bayaran, saya terus membayarnya sebanyak dua kali iaitu RM15,000 pada 27 Disember 2022 dan RM9,170 pada 7 Mac 2023,” katanya.

Katanya, tarikh asal untuk terbang ke Arab Saudi sepatutnya pada 15 Mei namun diubah kepada 8 November lalu.

“Namun, selepas itu, pertanyaan saya tak pernah dijawab dan semakin hari saya semakin bimbang kerana melihat ramai lagi mangsa yang tertipu di media sosial.

“Saya hadir ke pejabat mereka di Putrajaya dan melihat berpuluh-puluh jemaah yang mengalami nasib sama dan pejabat mereka sudah ditutup,” katanya.

Dalam pada itu, bagi seorang pengurus kilang, Mohd Hazwan Enkana Abdullah, 57, dia kecewa kerana tidak dapat menunaikan umrah dengan isterinya selepas menabung sedikit demi sedikit sejak tujuh tahun lalu.

“Saya kesal dengan sikap wakil mereka yang memaksa-maksa saya menyelesaikan pembayaran penuh bagi mengelakkan isu tak diingini.

“Tetapi lain yang jadi apabila pihak syarikat pula yang bertindak menunda-nunda tarikh umrah kami dan kini lesap.

“Saya sudah menjelaskan bayaran sebanyak RM19,850 melalui pindahan wang dalam talian kepada akaun syarikat pada 10 November 2021 iaitu RM2,000 dan bakinya 11 Mac 2023,” katanya.

Katanya, mereka mahu pihak berkuasa menyiasat kes itu dan mengheret pemilik syarikat berkenaan ke muka pengadilan kerana menipu serta melesapkan wang mereka.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini