comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah Us$109.71 Bilion Pada Akhir November – BNM

Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) — Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$109.71 bilion (US$1=RM4.41) pada akhir November 2022, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam kenyataan Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan November 2022 pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjelaskan bahawa aset mata wang asing lain berjumlah US$4.9 juta.

Menurut BNM mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$15.42 bilion. Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara.

“Kedudukan jualan hadapan adalah sebanyak US$25.98 bilion pada akhir November 2022, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” jelasnya dalam kenyataan itu.

Menurut BNM sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Selain itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$1.98 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, tambahnya.

“Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$399.4 juta,” menurut BNM.

Bank pusat juga menjelaskan rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelasnya.

Menurut bank pusat itu, secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir November 2022 tetap boleh guna. – BERNAMA

Loading...
Terkini