comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM rekod untung bersih RM7.16 bilion tahun lalu

Bank Negara Malaysia (BNM)

 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM7.16 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berbanding RM6.99 bilion pada 2022, berikutan kenaikan jumlah pendapatan sebanyak RM8.77 bilion daripada RM8.52 bilion sebelumnya.

Dalam Laporan Tahunan 2023, bank pusat itu berkata daripada jumlah ini, RM4.31 bilion akan dipindahkan kepada Rizab Risiko yang berjumlah RM150.06 bilion pada 31 Disember 2023.

Bank pusat itu berkata, memandangkan rizab antarabangsa BNM adalah dalam mata wang asing, penting baginya untuk memastikan kedudukan Rizab Risiko adalah memadai bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran kewangan dan turun naik dalam kadar pertukaran asing.

“Baki keuntungan bersih sebanyak RM2.85 bilion akan dibayar kepada kerajaan sebagai dividen berbanding RM2.75 bilion pada 2022,” katanya.DISYORKAN

Rizab Risiko ialah penampan kewangan yang terdiri daripada pindahan keuntungan bersih terkumpul, keuntungan atau kerugian belum direalisasikan daripada penilaian semula aset dan liabiliti mata wang asing serta perubahan nilai saksama bagi sekuriti yang direkodkan pada nilai saksama.

BNM berkata, jumlah aset meningkat sebanyak 1.97 peratus kepada RM631.26 bilion pada 31 Disember 2023 berbanding RM619.04 bilion pada 2022.

Ia berkata, eizab antarabangsa terus menjadi sebahagian besar daripada aset BNM sebanyak 83 peratus, berbanding 81 peratus pada 2022.

“Liabiliti BNM adalah terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan dan mata wang dalam edaran yang masing-masing berjumlah RM176.66 bilion dan RM161.82 bilion pada 31 Disember 2023 berbanding masing-masing RM221.89 bilion dan RM162.07 bilion pada 2022,” katanya.

BNM ialah sebuah badan berkanun yang membiayai sendiri operasi hariannya melalui pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan dalam rizab antarabangsa negara dan pasaran kewangan serta operasi am bank pusat itu yang lain.

Ia menguruskan kewangannya dengan matlamat untuk memastikan terdapat sumber untuk melaksanakan mandatnya dengan berkesan.Hal ini memerlukan BNM bertanggungjawab, berhemat dan berdisiplin dalam pengurusan sumbernya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini