comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank Negara Malaysia lancar program Penghijauan Rantaian Nilai

Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama institusi kewangan dan rakan kongsi strategik melancarkan Program Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) sempena Hari Kewangan di COP-27.

COP-27 ialah Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ke-27 yang berlangsung dari 6 hingga 18 Nov, 2022 di Sharm el-Sheikh, Mesir.

Dalam kenyataan pada Rabu, BNM menjelaskan matlamat program GVC adalah untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia melaksanakan perubahan yang berimpak dan berjangka panjang bagi menghijaukan operasi mereka.

“Ia dicapai melalui penawaran khidmat nasihat teknikal oleh organisasi yang terlibat serta pembiayaan untuk peralihan daripada Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF),” menurutnya.

Bank pusat menambah, program GVC ini menggunakan pendekatan mudah cara campuran yang terdiri daripada latihan teknikal dan diagnosis di premis operasi.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata Malaysia merupakan negara pengeksport.

Beliau berkata kebanyakan PKS Malaysia yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dasar oleh rakan perdagangan Malaysia untuk kekal berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat global.

“Hal ini termasuk menangani pelepasan rantaian nilai supaya seiring dengan sasaran global ke arah Sifar Karbon dan bersedia mematuhi dasar yang mungkin dilaksanakan oleh rakan perdagangan Malaysia.

“Program GVC merupakan satu langkah dalam usaha membantu PKS melakukan peralihan penting ini,” katanya.

PKS boleh menghubungi BNMLINK melalui telelink.bnm.gov.my untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai GVC. – BERNAMA

Loading...
Terkini