comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bebas visa pelawat China dijangka lonjak sektor pelancongan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan membenarkan kemasukan bebas visa berkuat kuasa 1 Disember lalu untuk pelawat dari China dijangka meningkatkan permintaan perjalanan bagi pelancong tempatan dan negara terbabit.

Penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng, berkata berdasarkan jangkaan positif aliran keluar masuk pelancong, data trafik Malaysiia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi tempoh Disember 2023 hingga suku pertama 2024 akan menjadi petunjuk penting.

“Kami percaya industri pelancongan Malaysia mengharapkan lawatan Presiden China, Xi Jinping, yang mungkin membawa lebih banyak berita gembira kepada industri pelancongan dan hospitaliti Malaysia.

“Ambil perhatian bahawa kerajaan telah menetapkan sasaran untuk menarik 5 juta pelancong China setiap tahun selepas rejim bebas visa. Ini adalah pendekatan agresif kerana hanya 3.1 juta pelancong melawat Malaysia pada 2019,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada 26 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India mulai 1 Disember.

Ketika ini negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

Perdana Menteri berkata, pengecualian itu bagaimanapun, tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat memasuki Malaysia.

China turut memberikan kemudahan untuk Malaysia ke China tanpa visa selama 15 hari.

Sementara itu, MAHB merekodkan 6.8 juta pergerakan penumpang untuk operasi lapangan terbang kendaliannya di Malaysia pada Oktober, susut 1.5 peratus bulan ke bulan, namun menokok 25.5 peratus tahun ke tahun.

Loading...
Terkini