comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bekas CEO MRANTI dilantik CEO SKS Airways

Dzuleira Abu Bakar

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: SKS Airways Sdn Bhd melantik Dzuleira Abu Bakar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 15 September 2023.

Dzuleira, yang telah memberikan notis peletakan jawatannya sebagai CEO Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), akan mengambil alih jawatan itu daripada pemangku CEO dan Pengarah Eksekutif semasa, Datuk Rohman Ahmad.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata Rohman bagaimanapun akan kekal dalam lembaga pengarah SKS Airways sebagai Pengarah Eksekutif.

“Dzuleira ialah peneraju berwawasan dengan lebih daripada 20 tahun rekod prestasi cemerlang dalam modal teroka, keusahawanan, pelaburan dan industri teknologi,” kata SKS Airways.

Sementara itu, Dzuleira berkata beliau berbesar hati kerana dilantik sebagai CEO SKS Airways.

“Ia adalah masa yang sesuai untuk berada dalam industri penerbangan dan saya teruja dengan visi pemegang saham untuk SKS Airways.

Terdapat banyak potensi dalam SKS Airways dan saya tidak sabar untuk menerajui syarikat penerbangan itu,” katanya.

SKS Airways melancarkan penerbangan komersial dari Subang pada Januari 2022.

Bulan lalu, SKS Airways menjalin kerjasama strategik dengan peneraju industri penerbangan, Embraer Asia Pacific dan Azorra Aviation Holdings, untuk pajakan 10 jet satu lorong Embraer E195-E2 dalam perjanjian bernilai lebih AS$840 juta (RM3.9 bilion) daripada Azorra.

Syarikat itu berkata, dua jet Embraer E195-E2 pertama akan tiba pada Januari 2024, sekali gus melengkapkan kumpulan pesawat baharunya.

Loading...
Terkini