comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Belanjawan 2024: Pelaburan ekonomi digital wajar dirangsang – PIKOM

KUALA LUMPUR: Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) berharap kerajaan akan mewujudkan persekitaran kawal selia pemboleh menerusi Belanjawan 2024 untuk perniagaan beroperasi dan melabur dalam ekonomi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Pikom, Ong Kian Yew berkata langkah itu boleh dilaksanakan dengan mempermudah peraturan dan mengurangkan karenah birokrasi.

“Persekitaran kawal selia pemboleh akan memudahkan kerajaan melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan (jika peraturan diingkari),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata infrastruktur dan peraturan keselamatan siber turut akan meningkatkan keyakinan pelabur.

Bagi menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam ekonomi digital, beliau juga mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan pihak dari negara lain untuk membangunkan piawaian dan peraturan bersama ke arah mewujudkan persaingan setara bagi perniagaan.

Ong berkata cadangan lain adalah kerajaan perlu menyediakan latihan dalam pengekodan, sains data dan pengkomputeran awan untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja.

“Ini akan membantu memastikan setiap orang mempunyai kemahiran yang mereka perlukan untuk menyertai ekonomi digital,” katanya.

Pikom ialah persatuan digital dan teknologi terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 ahli daripada perusahaan besar, kecil dan sederhana, pakar platform awan, pembangun perisian, pusat data dan syarikat yang terlibat dalam telekomunikasi, keselamatan siber dan perkhidmatan bersama.

Loading...
Terkini