comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah menjelang pengumuman KDNK suku ke-3,2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penyusutan pada Jumaat menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023 seiring dengan petunjuk pasaran yang lemah daripada Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 4.33 mata kepada 1,460.35 daripada 1,464.68 pada Khamis.

Indeks itu dibuka rendah 3.09 mata kepada 1,461.59.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman ditutup bercampur-campur berikutan kenaikan baru-baru ini apabila pelabur menilai semula data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang tidak begitu memberangsangkan antaranya peningkatan tuntutan pengangguran dan output perindustrian yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Peniaga bimbang sekiranya harga saham mungkin mengatasi yang utama.

Oleh itu, ketika Purata  Indeks Dow Jones menguncup 46 mata, Nasdaq ditutup meningkat hampir 10 mata memandangkan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun menyusut sehingga kepada 4.441 peratus.

“Selain itu, Indeks Hang Seng merosot hampir 250 mata berikutan peniaga tidak terdorong dengan pertemuan Presiden AS Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping,” katanya.

Di dalam negara, Thong berpendapat bahawa bursa tempatan akan diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat, sekali gus mengunjurkan indeks itu dalam jajaran 1,460-1,470.

Seorang lagi penganalisis berkata pelabur turut memantau pengumuman KDNK Malaysia hari ini, dengan pakar ekonomi mengunjurkan pertumbuhan 3.2 – 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

BERNAMA

Loading...
Terkini