comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka tinggi, pelabur tunggu data KDNK China 


KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit tinggi pada pagi urus niaga Selasa sebelum bergerak rendah menjelang keluaran data keluaran dalam negara kasar (KDNK) China untuk suku pertama lewat hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.59 mata kepada 1,433.31 daripada penutupan Isnin pada paras 1,434.90.

Indeks utama itu dibuka pada paras 1,435.47, meningkat 0.57 mata.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 147 berbalas 105, manakala 219 kaunter tidak berubah, 1,809 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 239.90 juta unit bernilai RM80.52 juta.

“Kami berpendapat pengumpulan saham-saham mewah akan berlanjutan, justeru, indeks dijangka berlegar dalam julat 1,430-1,440 hari ini,” kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng kepada Bernama.

Beliau menambah Wall Street ditutup dalam zon positif semalaman selepas sesi tidak menentu dengan bank-bank AS melaporkan pendapatan suku tahunan yang kukuh.

Sementara itu, beliau berkata harga minyak sawit mentah merosot ke paras terendah dua minggu pada paras RM3,600 satu tan disebabkan eksport yang lemah dan sehubungan itu, saham perladangan diunjur berada di bawah tekanan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen menjadi RM8.68, Petronas Chemicals turun enam sen kepada RM7.34, CIMB lemah satu sen kepada RM5.25 dan Tenaga merosot empat sen kepada RM9.14.

Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM3.97 dan RM5.88.

Bagi saham aktif, Hong Seng tidak berubah pada 14 sen, Tanco menambah setengah sen kepada satu sen, Dataprep menokok 1.5 sen menjadi  25.5 sen dan SMRT naik tiga sen kepada 67.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 12.68 mata kepada 10,551.07, Indeks FBMT 100 kerugian 12.43 mata menjadi 10,230.94 manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 14.08 mata kepada 10,910.08.

Indeks FBM ACE pula mengukuh 16.17 mata pada 5,385.49 dan indeks FBM 70 susut 21.25 mata kepada 13,837.05.

Mengikut  sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.39 mata kepada 174.77, manakala Indeks Perladangan meningkat 14.28 mata kepada 6,834.28 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 12.74 mata kepada 15,752.85.

Indeks Tenaga kerugian 2.37 mata kepada 875.82. -BERNAMA

Loading...
Terkini