comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu dalam persekitaran dagangan kurang menggalakkan dalam kebanyakan sesi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 3.64 mata kepada 1,445.82 daripada 1,449.46 pada Selasa.

Indeks dibuka tinggi 1.45 mata kepada 1,450.91 dan kemudian bergerak antara 1,444.63 dan 1,452.07 sepanjang hari.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 452 berbanding 365 manakala 471 kaunter tidak berubah, 1,026 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.80 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 3.54 bilion unit bernilai RM2 bilion pada Selasa.

Seorang peniaga berkata jualan pada sesi sebelumnya dan keyakinan mengenai prospek AS untuk pengurangan kadar faedah membantu meningkatkan minat terhadap saham pada awal hari ini.

Bagaimanapun, pasaran gagal mengekalkan momentum yang menggalakkan apabila sebahagian pelabur mengambil keuntungan.

“Sebahagian peniaga tidak memasuki pasaran berikutan bimbang mengenai langkah Moody’s untuk menurunkan prospek kredit rakan dagang terbesar Malaysia disebabkan risiko hutang yang meningkat,” katanya kepada Bernama.

Dilaporkan Moody’s Investors Service telah menurunkan penarafan kredit kerajaan China kepada negatif daripada stabil, merujuk impak terhadap pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu berikutan ia menggunakan rangsangan fiskal untuk membendung krisis hutang dalam kalangan pemaju hartanah negara itu. -BERNAMA

Loading...
Terkini