comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia lepasi paras penting 1,500, indeks komposit tertinggi terakhir pada Ogos 2022

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum positif yang kukuh untuk ditutup lebih tinggi pada Isnin, didorong secara keseluruhannya oleh sokongan belian, dengan indeks barometer berada di atas rintangan psikologi 1,500 yang kali terakhir dicatatkan pada Ogos 2022, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 13.77 mata kepada 1,501.11 daripada 1,487.34 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Kali terakhir indeks utama berada di atas paras 1,500 adalah pada 30 Ogos, 2022 apabila ditutup pada 1,512.05.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.94 mata lebih tinggi kepada 1,488.28 sebelum bergerak antara 1,487.81 dengan 1,501.86 mata semasa sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 berbanding 456, manakala 419 kaunter tidak berubah, 769 kaunter tidak diniagakan dan 20 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.98 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 4.08 bilion unit bernilai RM2.84 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata bursa tempatan juga menjejaki prestasi positif bursa serantau memandangkan pada Isnin, China mengekalkan kadar faedah pinjaman dasar setahun tidak berubah pada 2.5 peratus, di samping menyuntik dana ke dalam sistem kewangan untuk merangsang ekonomi.

“Apabila FBM KLCI melepasi ambang rintangan psikologi 1,500 dan jika paras ini dapat dikekalkan untuk tempoh yang panjang, kami menjangkakan ada potensi peningkatan tambahan.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras berada aliran berjulat 1,490 hingga 1,510 untuk minggu ini dengan rintangan serta-merta pada 1,525 dan sokongan pada 1,475, diikuti 1,465,” katanya kepada Bernama.

Loading...
Terkini