comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri didenda RM1,500, jual makanan kepada orang Islam yang tidak puasa

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri didenda RM1,500 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kerana menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa.

Tertuduh lelaki berusia 57 tahun dan isterinya berusia 55 tahun turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Zamzam Ismail selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan iaitu tidak menghormati bulan Ramadan apabila menjual kepada orang Islam makanan untuk dimakan dalam waktu berpuasa pada bulan Ramadan.

Masing-masing mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di daerah ini, jam 11.25 pagi semalam dan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 19 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lagi lelaki berusia 43 tahun yang juga pelanggan di kedai berkenaan kerana gagal menghadirkan diri bagi sebutan kes sama di mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Untuk rekod, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menetapkan urus niaga makanan dan minuman membabitkan pengusaha, pemilik dan pelanggan beragama Islam hanya dibenarkan bermula jam 3 petang sepanjang Ramadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini