comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cadangan Belanjawan 2023, kegusaran kadar faedah reda, manfaatkan sektor hartanah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rancangan pembangunan yang dikemukakan kerajaan dalam Belanjawan 2023 dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin reda dijangka beri manfaat kepada sektor hartanah.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata cadangan kerajaan dalam bajet tahunan untuk menaik taraf lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang dan Subang, Selangor serta mewujudkan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia, seharusnya mendatangkan kesan limpahan positif kepada pasaran hartanah dalam jangka sederhana.

Katanya, zon ekonomi dan projek prasarana berpotensi akan menjadi pemangkin kepada sektor hartanah dengan bank pelaburan itu optimis dengan perancangan kerajaan bagi menampung permintaan, iaitu kemasukan pelabur, pelancong perniagaan dan pelancong biasa.

“Meskipun tidak banyak maklumat lanjut diberitahu berhubung perkara ini buat masa sekarang, perkembangan yang berpotensi menjadi pemangkin ini dapat membantu mendorong keyakinan dalam kalangan pembeli hartanah,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kok Wen berkata, berhubung kadar faedah, krisis perbankan yang berlaku ketika ini mungkin menyebabkan kenaikan kadar yang semakin perlahan.

“Meskipun baru-baru ini terdapat ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti, kami masih melihat adanya nilai dalam sektor hartanah.

Hujah pelaburan kami tidak berubah iaitu peningkatan kadar faedah sedang menghampiri penamat, dan pembukaan semula sempadan China patut memberi manfaat kepada syarikat yang memiliki aset peruncitan dan hospitaliti.

“Walaupun Bank Negara (BNM) tidak menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) mungkin mendesak bank-bank pusat di rantau ini untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah sambil memantau keadaan pasaran global.

“Hal ini agak menguntungkan bakal pembeli hartanah, kerana ia mungkin bermakna kadar gadai janji berkemungkinan besar akan menjadi stabil pada paras semasa (pada sekitar4.0-4.1 peratus) dalam tempoh tiga hingga enam 6 bulan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, bank pelaburan itu juga percaya peningkatan kadar faedah sepatutnya memuncak menjelang separuh pertama 2023 dengan penilaian saham semasa sudah pun mengambil kira impak kenaikan kadar lanjut terhadap permintaan hartanah.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini