comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

60 peratus perbelanjaan Belanjawan 2023 mampu dicapai bulan depan

Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) yakin sasaran 60 peratus perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023, dapat dicapai bulan depan bagi menyokong langkah kerajaan menyegerakan pelaksanaan projek-projek cakna rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Tahun 2022 di sini hari ini,

Ahmad berkata MOF telah mengagihkan peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 kepada agensi dan kementerian terbabit.

“Kita yakin ini akan dicapai sebab segala wang yang sepatutnya disalurkan dan patut mengikut tempoh terbabit, telah diberi kepada semua kementerian dan agensi.

“Perbelanjaan operasi itu mudah sebab pada setiap bulan gaji, penyelenggaraan dibuat secara berkala.

Apa yang menjadi kesukaran perbelanjaan ini adalah mengenai perbelanjaan pembangunan yang kita nak teliti sungguh-sungguh supaya segalanya dipermudah dan dipercepat manakala pada masa sama tata kelola tadbir urus sentiasa dilakukan,” katanya.

Di Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu 60 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 dibelanjakan pada Ogos ini.

Ketika berucap, Anwar berkata setakat Jun lalu, sebanyak RM188 bilion atau 49 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 berkenaan telah dibelanjakan.

Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM99 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – BERNAMA

Loading...
Terkini