comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

RM500 boleh naik lebih 2 kali ganda jika disimpan – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Walaupun kelihatan kecil, namun insentif Caruman Tambahan RM500 melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menjadi pemangkin bagi para pencarum yang layak untuk menambah simpanan mereka.

Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sumbangan daripada KWSP itu meskipun dilihat kecil, namun sekiranya wang tersebut disimpan dalam tempoh yang lama, nilainya akan meningkat tinggi.

“Sebagai contoh, sekiranya wang RM500 itu disimpan selama 20 tahun dan kita andaikan kadar dividen KWSP 5% setahun, maka wang tersebut akan berganda kepada RM1,326.65. Nilai wang tersebut telah berganda sebanyak 2.65 kali daripada hanya RM500”, katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, selain menjadi pemangkin, caruman tambahan RM500 ini boleh dijadikan sebagai suatu bentuk bayaran pindahan kepada golongan sasaran yang mana wang ini akan menambah tahap simpanan mereka pada hari persaraan kelak.

Dalam satu kenyataan KWSP menjelaskan, pihaknya telah mengkreditkan berjumlah RM708 juta kepada 1.4 juta ahli KWSP berumur antara 40 dan bawah 55.

Insentif ini diperuntukkan kepada individu yang mempunyai simpanan KWSP RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka setakat 24 Februari 2023.

Insentif caruman RM500 one-off ini, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, bertujuan menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur pesaraan untuk terus menyimpan serta mengukuhkan pengumpulan simpanan pesaraan mereka.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini