comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

CelcomDigi bayar RM139 juta kos pemberhentian pekerja

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd membayar kos pemberhentian pekerja bernilai RM139 juta yang membabitkan seramai 600 pekerja pada suku pertama 2024.

Penganalisis RHB Investment Bank, Jeffrey Tan, berkata langkah itu menyebabkan pendapatan sebelum faedah, rosot nilai, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) CelcomDigi susut 12 peratus suku ke suku, dengan jumlah pekerja dikurangkan kepada antara 3,500 hingga 3,700 orang.

“Dengan ini, ia dijangka mencatat penjimatan RM80 juta hingga RM90 juta menjelang akhir tahun ini, yang juga termasuk dalam nilai kasar sinergi RM700 juta yang diramalkan untuk tahun kewangan 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Beliau berkata, fasa penyepaduan rangkaian CelcomDigi dilihat selesai hampir separuh dengan lebih 7,200 menara ditambah baik dan ia dijangka siap sepenuhnya sebelum 2025.

“CelcomDigi juga sudah mengurangkan bilangan pengedar utama kepada lapan daripada 16 selepas merombak semula saluran pengedarannya,” katanya.

Syarikat telekomunikasi (telco) secara amnya berjaya menepati keputusan kewangan yang ditetapkan untuk suku tahun Mac lalu, dengan Axiata Bhd menjangkaui ramalan konsensus, sementara CelcomDigi tersasar.

Untuk suku tahun ini, prestasi dilihat menunjukkan trend yang lazimnya berlaku apabila hasil perkhidmatan mudah alih (MSR) susut 1.1 peratus suku ke suku.

Secara tahun ke tahun, MSR menokok 0.1 peratus dengan Maxis mencatat kenaikan lanjut dalam bahagian pasaran hasil (RMS) dan pada masa yang sama menyebabkan CelcomDigi kehilangan bahagian pasaran hasilnya.

Kenaikan ini berlaku disebabkan oleh pertumbuhan kukuh enam peratus tahun ke tahun dalam segmen pasca bayar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini