comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

CelcomDigi percepat integrasi rangkaian, capai 30% tahun ini

Datuk Idham (kiri) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna CelcomDigi, Praveen Rajan pada majlis pelancaran pelan Postpaid 5G CelcomDigi hari ini.- Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

SUBANG JAYA: CelcomDigi Bhd merancang untuk mempercepatkan integrasi rangkaian Celcom dan Digi berikutan syarikat ke arah mencapai integrasi sebanyak 30 peratus akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata integrasi dan pemodenan telah mencapai lebih 4,400 tapak setakat Oktober, iaitu sekitar 80 peratus daripada sasaran.

 

Dalam pelan integrasi rangkaian CelcomDigi, sebanyak 30 peratus akan dilaksanakan tahun ini, 40 peratus tahun depan, manakala 30 peratus pada 2025.

“Kami berada di landasan untuk mencapai sasaran pada tahun ini. Sebenarnya, kami cuba membawa ke hadapan beberapa penyepaduan daripada tahun hadapan kepada tahun ini kerana kami mempunyai kapasiti tambahan untuk mencapai jumlah yang lebih tinggi untuk tahun ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran pelan Postpaid 5G CelcomDigi.

Enam pelan pascabayar baharu itu akan tersedia mulai esok dan lengkap dengan akses internet 5G dan 4G yang dilengkapi dengan faedah tambahan untuk memenuhi keperluan ketersambungan pelanggan yang berbeza.

Dalam pada itu, prospek pasaran telekomunikasi tahun depan bakal dipacu oleh tawaran lebih meluas rangkaian 5G, dengan jangkaan penganalisis pertumbuhan antara dua hingga tiga peratus.

“Dengan apa yang sedang berlaku terhadap ekonomi dan pertumbuhan KDNK, industri telekomunikasi tidak semestinya mengikut pertumbuhan KDNK. Jika anda lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini pertumbuhan pasaran berada pada lingkungan satu digit yang rendah, hampir mendatar.

“Kami menantikan 5G yang telah tersedia dan kemudian pakej baharu yang kami perkenalkan, untuk memberikan keterujaan dalam pasaran,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perjanjian langganan saham (SSA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB), Datuk Idham berkata syarikat sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dan bersedia untuk teruskan kerjasama apabila SSA telah dimuktamadkan akan datang.

Loading...
Terkini