comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jangan politikkan isu kenaikan gaji penjawat awam – CUEPACS

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: CUEPACS menggesa semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu kenaikan gaji penjawat awam yang dianggap memberi kebaikan terhadap sektor perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, mana-mana pihak terutamanya ahli politik perlu bersikap lebih matang dalam membincangkan sebarang isu sebelum menjadikan ia sebagai ‘modal’ politik.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.

“Janganlah kita mewujudkan polemik dan kegusaran terhadap usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan.

“Ahli politik dipohon supaya bersikap lebih matang dan bijak serta bertanggungjawab dalam memainkan isu-isu yang hendak mereka ketengahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau menzahirkan rasa kecewa apabila timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan melalui penolakan sokongan terhadap cadangan kenaikan gaji penjawat awam yang akan menjadi antara intipati Belanjawan 2025 nanti.

Katanya lagi, idea penolakan cadangan itu amat mengecewakan rata-rata penjawat awam yang sudah lama menanti pelarasan semula skim gaji supaya mampu menampungi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“CUEPACS berpesan supaya janganlah emosi politik menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam.

“Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata CUEPACS amat konsisten untuk meneruskan perjuangan supaya isu kenaikan gaji seperti diumum Perdana Menteri baru-baru ini disokong sepenuhnya semua pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Perdana Menteri pada Rabu lalu mengumumkan penstrukturan semula gaji penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilakukan ketika ini akan dilaksanakan pada 1 Disember 2024.

Hasil akhir daripada Kajian SSPA itu akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen menerusi Belanjawan 2025 pada Oktober depan.

Loading...
Terkini