comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

CEO Kumpulan CIMB letak jawatan 30 Jun ini

Datuk Abdul Rahman Ahmad

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mengumumkan pengunduran Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan pada 30 Jun ini selepas berkhidmat dengan kumpulan itu selama empat tahun sejak 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan perbankan itu berkata bagi memudahkan proses peralihan, Datuk Mohd Nasir Ahmad yang pada asalnya akan bersara pada Julai ini selepas tamat tempoh sembilan tahun sebagai pengarah Lembaga Pengarah, akan kekal sebagai Pengerusi Kumpulan, dan dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

Katanya, ini selaras dengan tadbir urus korporat yang baik, berkuat kuasa 20 Julai 2024 dan selepas kelulusan pihak berkuasa kawal selia mengenai pembaharuan tempoh perkhidmatannya.

Mohd Nasir berkata, Abdul Rahman telah melakukan kerja yang cemerlang, memacu transformasi CIMB di bawah pelan strategik Forward 23+ dan telah memainkan peranan penting dalam meletakkan CIMB pada kedudukan yang kukuh sebagai peneraju fokus bank ASEAN.

“Di bawah kepimpinan beliau, kumpulan mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangan, mengukuhkan daya tahan operasi, mempercepatkan inisiatif digitalnya, meningkatkan tahap kemampanan, serta membantu menyemai budaya CIMB yang kukuh.

“Kumpulan CIMB mempunyai pelan penggantian yang mantap, yang telah diaktifkan dan Lembaga Pengarah akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group yang baharu dalam masa terdekat, sebaik sahaja kelulusan kawal selia diterima.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman atas semua sumbangan beliau kepada kumpulan dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam peranan beliau yang seterusnya”, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini