comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam rampas minuman keras, rokok bernilai RM1.59 juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok putih bernilai RM1.593 juta di pelabuhan utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, daripada jumlah keseluruhan rampasan itu, sejumlah RM885,000 membabitkan nilai rampasan, manakala RM708,250 jumlah cukai dan duti.

“Modus Operandi bagi kedua-dua kes ini adalah menggunakan pengikraran palsu di borang kastam.

“Rampasan minuman keras dibuat jam 9.15 malam pada 21 Mac lalu hasil risikan pegawai pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I WPKL.

“Cubaan membawa masuk dagangan minuman keras berjaya digagalkan dengan penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki yang disyaki tidak berkastam.

“Hasil pemeriksaan terhadap kontena itu mendapati sejumlah muatan minuman keras berjenama berjumlah 4,030 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM21,000 dan cukai serta duti terbabit dianggarkan berjumlah RM51,610 ditemui,” katanya pada sidang media di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hari ini.

Pengimport sepatutnya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Minuman keras terbabit diikrarkan sebagai tuala di borang Kastam 1 bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket juga cuba mengelak daripada dikesan dengan sengaja meletakkan dagangan minuman keras di bahagian belakang kontena bersama barangan campur yang lain.

Norlela berkata, susulan penahanan kontena itu seorang wakil perkapalan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terbabit bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kes membabitkan rampasan rokok putih dijalankan jam 4.40 petang pada 2 April lalu.

Katanya, penyeludupan itu berjaya dipintas, juga melalui penahanan kontena bersaiz 40 kaki yang disyaki tidak berkastam di pelabuhan utara, Pelabuhan Klang.

“Rampasan rokok putih berjumlah 864,000 batang dengan anggaran nilai RM864,000 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM656,640.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu bersama wakil perkapalan menemukan rokok putih disyaki tidak berkastam, di mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Rokok putih itu diikrarkan sebagai lampu laman daripada negara jiran dan wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan terbabit. Kes ini juga masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen yang terbabit bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Norlela berkata, kes minuman keras disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala rokok putih disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini