comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

CWSB Terima Peruntukan RM35 Juta, Perkasa Usahawan Perkayuan Bumiputera

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM35 juta ringgit bagi memperkasa usahawan bumiputera dalam industri perkayuan disalurkan ke anak syarikat, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) – CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB).

Dana ini sebahagian usaha memacu prestasi eksport usahawan bumiputera yang dilihat masih kecil iaitu kurang satu peratus daripada nilai eksport perabot negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, “Usahawan Bumiputera industri perkayuan ini agak tidak tersusun dan tiada struktur.

Justeru, dengan adanya CWSB ini, Insyallah akan mampu untuk menggembeling pemain-pemain industri Bumiputera untuk diurus tadbir dengan lebih cekap, dengan itu kita boleh membantu menganjurkan untuk aktviti promosi untuk eksport serta buat lawatan-lawatan luar negara.”

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara CWSB  bersama tujuh pemegang taruh yang berkaitan.

Tujuh pemeteraian MoU membabitkan CWSB bersama MTIB bagi menggalakkan pembangunan industri perkayuan di Malaysia; CWSB bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), MYTeakwood Holdings Sdn Bhd dan Green Afforestation International Network Sdn Bhd untuk melaksanakan pembinaan sebuah rumah prototaip dengan menggunakan bahan binaan Paulownia Cross Laminated Timber (CLT) bagi Industri Pembinaan berkonsepkan Ready to Install System (ReTIS).

Selain itu, MoU CWSB bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula untuk pembangunan sokongan ekosistem di Muar Furniture Park (MFP) Teaching Factroy (TF), UTHM bagi membantu pembangunan industri perabot khususnya industri perabot di wilayah Selatan iaitu di daerah Muar yang menjadi penyumbang utama eksport perabot Malaysia.

CWSB juga bekerjasama dengan Langkawi Development Authority (LADA) untuk membangunkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan dan ukiran di Langkawi; CWSB bersama Terengganu Timber Industry Training Center (TTITC) untuk meningkatkan kemahiran vendor bumiputera di bawah CWSB melalui latihan; CWSB bersama MFA Events untuk menggalakan penyertaan usahawan Bumiputera dalam program promosi dan pameran.

CWSB bersama Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot 11 Bumiputera Malaysia (PEKA) untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam industri produk perkayuan tempatan. 

“Sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tujuh MOU ini adalah untuk raih nilai kontrak berjumlah RM50 juta bagi pasaran tempatan dan antarabangsa,” kata Zuraida.

Dalam pada itu, industri perkayuan merekodkan eksport berjumlah RM13.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Pencapaian eksport bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah 13.79 peratus lebih tinggi berbanding RM11.59 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Pada 2021, industri ini telah mencapai nilai eksport sebanyak RM22.7 bilion dengan perabot kayu yang menjadi komponen terpenting dalam industri perkayuan telah menyumbang nilai eksport sebanyak RM10.4 bilion.

“Produk ini telah berjaya dieksport ke lebih 160 buah negara termasuk pasaran utama perabot Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura, Australia dan United Kingdom,”kata beliau.

Loading...
Terkini