comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai kontrak RM197.5 juta dimuktamadkan daripada pinjaman diluluskan MTIB 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai kontrak kerja yang telah berjaya dimuktamadkan daripada pinjaman diluluskan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) adalah berjumlah RM197.5 juta dari 2012 hingga 2022, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sebanyak 139 kelulusan pinjaman diluluskan oleh MTIB kepada 42 syarikat dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM29.4 juta dalam tempoh 10 tahun.

“MTIB menyediakan Program Sokongan Bahan Mentah iaitu dana pusingan berjumlah RM16 juta sebagai pinjaman tanpa faedah bagi membolehkan usahawan Bumiputera membuat perolehan bahan mentah kayu dalam pembuatan perabot dan produk bernilai tambah tinggi.

“Pembiayaan ini diberikan kepada usahawan Bumiputera yang mempunyai kontrak kerja yang telah dimuktamadkan dan masih berkuat kuasa,” katanya dalam ucapan perasmian Wood & Lifestyle Fair (WLF), di sini hari ini.

Katanya MTIB turut menganjurkan pameran berkenaan di beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Sabah pada setiap tahun sejak dilancarkan pada 2016.

Melalui pameran itu, Fadillah berkata usahawan Bumiputera telah berjaya mencipta jualan sehingga RM52.5 juta iaitu pulangan sebanyak hampir 10 kali ganda sehingga tahun lepas.

“Namun begitu, penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan masih lagi terhad. Usahawan Bumiputera hanya menyumbang kurang 1.0 peratus daripada jumlah eksport kayu dan produk kayu pada 2022.

“Bilangan usahawan Bumiputera juga adalah kecil iaitu seramai 524 usahawan. Saya difahamkan hampir 66.8 peratus daripada usahawan Bumiputera adalah dalam kategori perusahaan kecil atau bersaiz mikro,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kementerian melalui agensinya MTIB, sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing dan penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan melalui teras dasar dan strategi yang digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) (2021-2030) dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) (2021-2025).

Katanya DAKN menyasarkan peningkatan 71 peratus penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan iaitu sebanyak 600 syarikat Bumiputera pada 2030 di peringkat pertengahan dan hiliran manakala NTISP menyasarkan penguasaan produk perkayuan Bumiputera sebanyak 10 peratus di pasaran tempatan dan 5.0 peratus di pasaran antarabangsa menjelang 2025. — BERNAMA

Loading...
Terkini