comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] DNB laksana 5G sehingga 80% liputan; model dwi-rangkaian diguna seawal 2024

 

Oleh Amanda Lopez

PUTRAJAYA: Pelaksanaan rangkaian 5G dalam negara kekal diteruskan melalui Digital Nasional Bhd (DNB) sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital,  Fahmi Fadzil berkata peralihan kepada model dwi-rangkaian menerusi entiti baharu pula akan dilaksanakan seawal Januari 2024.

“Syarikat DNB akan terus berfungsi dan penyedia perkhidmatan akan menjadi sebahagian daripada DNB. Ini tidak lari daripada perbincangan awal mengenai penyertaan ekuiti dalam DNB tetapi kerajaan telah juga memutuskan bahawa satu entiti baharu boleh diwujudkan, rangkaian baharu boleh diwujudkan selepas kita capai 80% liputan kawasan berpenduduk.” katanya dalam satu sidang media inisiatif 5G siang tadi.

“Ini bukan keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). Sebenarnya ini adalah hasil kerjasama daripada Kementerian Kewangan dan KKD di mana kita telah diarah menubuhkan satu jawatankuasa dan kita telah meneliti pelbagai model dan akhirnya telah dibentangkan ke Jemaah Menteri dan keputusan seperti yang diumumkan hari ini telah dicapai.” jelasnya.

Beliau berkata model dwi-rangkaian itu turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi tempatan sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

Dengan itu, KKD akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

“Antara yang penting adalah harga berpatutan kepada rakyat. Itu aspek yang paling penting. Sebab realitinya kita rakyat biasa, kita nak tahu berapa yang nak kita bayar” tambahnya lagi.

Setakat ini, liputan 5G di kawasan berpenduduk telahpun mencapai 57.8 peratus, dengan baki 22.2 peratus akan diusahakan DNB sehingga hujung tahun ini.

Loading...
Terkini