comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 50,000 kandungan memudaratkan dalam tempoh tiga bulan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Kandungan memudaratkan di media sosial dan platform penstriman atau ‘Over The Top’ (OTT) dilaporkan meningkat tahun ini berbanding tahun lalu.

Dalam kenyataan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan MCMC kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.

“Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

Justeru, penyedia platform dalam talian iaitu TikTok dan Meta diminta untuk meningkatkan usaha pemantauan susulan peningkatan kandungan dalam talian yang memudaratkan.

Perkara tersebut dinyatakan dalam mesyuarat bersama kedua-dua penyedia platform berkenaan yang dipengerusikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat MCMC di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.

Hadir sama, wakil PDRM yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah dan wakil daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah, mesyuarat tersebut antara lain bagi memastikan penyedia platform memantau kandungan dengan lebih holistik dan proaktif.

Ia merangkumi usaha bersepadu MCMC bersama pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan bagi menangani penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum dan raja).

“Penyedia platform turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.

“Selain itu, TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun (Coordinated Inauthentic Behaviour) serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti scam serta perjudian haram dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Perkara lain yang dibincangkan termasuk penambahbaikan terhadap keselamatan dalam talian khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial.

Tindakan terbabit bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan di media sosial.

Pada masa sama, perkara yang turut dibincangkan adalah keperluan melihat semula kecekapan algoritma yang memacu Kecerdasan Buatan (AI) dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R, kelakuan tidak sahih tersusun atau sebarang kandungan memudaratkan.

“TikTok dan Meta telah disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini