comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

EcoWorld catat keuntungan bersih lebih besar RM70.05 juta

Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia)

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM70.05 juta bagi suku kedua berakhir 30 April 2024, daripada RM62.69 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil melonjak 32.1 peratus kepada RM555.76 juta daripada RM420.82 juta disebabkan sumbangan yang tinggi daripada fasa aktif dan projek hartanah yang baharu dilancarkan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EcoWorld Malaysia menyatakan bahawa Eco Botanic, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I, dan Eco Sanctuary di Lembah Klang antara projek yang menyumbang kepada hasil dan keuntungan kasar pada suku kedua 2024.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah, berkata kumpulan itu mencapai jualan sebanyak RM2.18 bilion dalam tempoh tujuh bulan bagi tahun kewangan 2024, dipacu oleh permintaan yang kukuh bagi projek di Iskandar Malaysia yang menyumbang 61 peratus jumlah jualan kumpulan bagi tahun setakat ini.

“Empat tonggak pendapatan kumpulan itu, Eco Townships, Eco Rise, Eco Hubs dan Eco Business Parks menunjukkan prestasi yang kukuh.

“Jualan rumah kediaman Eco Townships kami kekal sebagai segmen terbesar dengan RM855 juta direkodkan, dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada rumah berharga melebihi RM650,000,” katanya.

Menurut Khim Wah, keupayaan kumpulan itu dalam menjana tunai meningkat dengan disokong oleh projek yang telah matang dan jualan yang kukuh.

“Pada separuh pertama tahun kewangan 2024, kumpulan menjana RM470 juta tunai daripada aktiviti operasi, lebih tiga kali ganda keuntungan bersih kami untuk tempoh yang sama.

“Hasilnya, baki tunai kami termasuk deposit dan dana jangka pendek meningkat kepada RM1.44 bilion, paras tertingginya setakat ini, mengurangkan nisbah penggearan bersih kami kepada 0.24 kali ganda,” katanya.

EcoWorld berkata, ia berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak dan sedang mencari tanah, terutamanya di bawah projek Eco Townships, Eco Business Parks dan Eco Rise pillars.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini