comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Empat cadangan lonjak semula pasaran pekerjaan – Kaji Selidik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji dan mengurangkan ketidakpadanan kemahiran adalah antara empat cadangan untuk memacu pemulihan kadar pengangguran serta melonjak semula pasaran pekerjaan negara.

Turut dicadangkan adalah intervensi penting untuk meningkatkan hasil bekalan buruh serta langkah mengoptimumkan penciptaan pekerjaan melalui pengambilan pekerja yang inklusif dan mekanisme pemadanan pekerjaan yang lebih baik.

The Future Studies Bhd (The Future) menerusi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Depan (EU-ERA) dalam kajiannya mendedahkan beberapa cadangan dikemukakan untuk mempercepatkan pemulihan kadar pengangguran dan pasaran buruh secara keseluruhan.

Katanya, cadangan berkenaan lebih relevan untuk langkah jangka pendek, bukannya sederhana.

“Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kenaikan gaji yang sederhana tidak mungkin menjejaskan ekonomi dan mungkin, sebenarnya, mempunyai kesan positif,” demikian menurut kajian bertajuk Menilai Tinjauan Pengangguran 2023: Cabaran dan Peluang.

Ketua Ekonomi The Future, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata kenaikan gaji memberi kesan kepada ekonomi dalam dua cara.

Pertama, katanya, kenaikan gaji boleh merangsang perbelanjaan pengguna di mana apabila pekerja memperoleh lebih banyak wang, mereka mungkin berbelanja lebih, yang mana boleh meningkatkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan, seterusnya membawa kepada peningkatan aktiviti ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

“Kedua, kenaikan gaji boleh menyebabkan ‘turnover’ (pemberhentian) yang lebih rendah dan produktiviti pekerja yang lebih tinggi.

Selain itu, gaji yang lebih tinggi boleh meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja, yang membawa kepada peningkatan kualiti dan kecekapan di tempat kerja,” katanya.

Mohd Yusof berkata, saiz ketidakpadanan kemahiran boleh dikurangkan sebanyak 2.7 peratus untuk setiap peratus kenaikan gaji.

Cadangan kedua yang diutarakan dalam kajian terbabit menyentuh mengenai langkah meningkatkan permintaan buruh melalui sektor pengganda guna tenaga tinggi.

Mohd Yusof berkata, pendekatan itu merujuk kepada strategi yang menyasarkan sektor ekonomi yang memberi impak besar kepada pewujudan pekerjaan di seluruh ekonomi.

Katanya, sektor terbabit dikenali sebagai pengganda guna tenaga tinggi kerana ia mewujudkan pekerjaan bukan sahaja dalam industri mereka sendiri tetapi juga dalam industri berkaitan yang membekalkan barangan dan perkhidmatan.

“Kami telah menganggarkan keanjalan pekerjaan kepada KDNK dalam lima sektor utama iaitu pertanian, perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Menyentuh cadangan ketiga, Mohd Yusof berkata, intervensi penting untuk meningkatkan hasil bekalan buruh di mana pendekatan pelbagai dimensi perlu digunakan dengan memberi insentif kepada orang ramai untuk bekerja dan menyelaraskan semula kemahiran dan kecekapan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan industri yang menjadi kunci dalam menyokong ekonomi.

Bagi cadangan keempat, beliau berkata, langkah mengoptimumkan penciptaan pekerjaan melalui pengambilan pekerja yang inklusif dan mekanisme pemadanan pekerjaan yang lebih baik. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini