comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran pekerjaan semakin meningkat, penganggur berkurang

 

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bilangan penganggur pada Januari 2023 terus berkurang kepada seramai 596,100 orang, menjadikan kadar pengangguran di negara ini berada pada 3.6 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata pada Januari 2023, pasaran buruh negara terus berada pada trend yang menaik berikutan peningkatan kedudukan aktiviti ekonomi semasa, selari dengan perkembangan ekonomi global.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Januari 2023 semakin baik, meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.76 juta orang, berbanding 16.73 juta orang pada Disember 2022.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan berkenaan kekal pada kadar 69.8 peratus, sama seperti Disember 2022. Senario positif ini disumbangkan oleh peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus berkurang,” katanya dalam satu kenyataan diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Mohd Uzir menambah, kategori pekerja merangkumi 75.7 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Januari 2023.Berbanding bulan sebelumnya, kategori ini katanya merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus, mencecah sejumlah 12.24 juta orang, berbanding 12.23 juta orang pada Disember 2022.

“Trend yang sama juga dilihat dalam penduduk bekerja sendiri, dengan peningkatan sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.88 juta orang, berbanding 2.86 juta orang pada Disember 2022,” katanya.

Dari segi sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan pentadbiran & khidmat sokongan.

“Trend guna tenaga yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan & pengkuarian, begitu juga dalam sektor pertanian,” katanya.

Mengenai situasi pengangguran pada bulan itu, Mohd Uzir Mahidin berkata, sebahagian besar adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.8 peratus.

Katanya, kategori ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 481,600 orang berbanding 484,000 orang pada Disember 2022.

“Daripada jumlah bilangan penganggur aktif, 60.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.4 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

“Sementara itu, mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 114,000 orang,” katanya.

Mohd Uzir berkata, selaras dengan fasa peralihan negara ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan dalam jumlah ketibaan pelancong, sekali gus merancakkan lagi aktiviti perdagangan dan perniagaan di negara ini, yang seterusnya akan menyumbang ke arah pemulihan yang stabil, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

“Justeru, aktiviti perniagaan dijangka terus berkembang pada awal 2023, dan menyumbang kepada lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menggalakkan lebih ramai penyertaan tenaga buruh dalam pasaran dan seterusnya mengukuhkan pasaran buruh serta meningkatkan prestasi ekonomi negara.

“Selaras dengan situasi itu, kedudukan pasaran buruh juga dijangka akan terus stabil dan berkembang pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya. — BHONLINE

Loading...
Terkini