comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Golongan ‘mahakaya’ Malaysia paling ramai melabur tambah kekayaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Golongan mewah atau ‘mahakaya’ di Malaysia adalah yang paling ramai melabur dalam produk kewangan dan bersedia untuk meletakkan lebih separuh daripada nilai kekayaan mereka ke dalam pelaburan.

Dapatan itu adalah menurut Snapshot Pelabur Mewah 2024 baharu HSBC, yang meninjau tabiat melabur dalam kalangan pelabur mewah di 11 pasaran.

Laporan Kualiti Hidup Global, Snapshot Pelabur Mewah 2024 oleh HSBC mendedahkan pelabur mewah iaitu individu yang mempunyai aset boleh antara AS$100,000 sehingga AS$2 juta di Malaysia merancang untuk meletakkan lebih banyak wang tunai untuk dikembangkan.

“Pelabur mewah sedia menggunakan 52 peratus daripada pegangan tunai mereka untuk tujuan mengimbangi semula portfolio pelaburan dalam tempoh 12 bulan akan datang. Namun, tunai hanya merangkumi 27 peratus daripada portfolio pelabur mewah di Malaysia.

“Ia serupa dengan Singapura, tetapi lebih rendah berbanding dengan pasaran lain yang ditinjau termasuk United Kingdom (37 peratus), Hong Kong (33 peratus) dan Taiwan (33 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.HSBC berkata, instrumen lain yang dipegang oleh pelabur mewah di Malaysia dari segi simpanan dan produk pelaburan adalah unit amanah (58 peratus), saham (54 peratus), deposit tetap (52 peratus ) dan bon (31 peratus).

Manakala, bagi tujuan simpanan dan pelaburan masa hadapan, pelabur mengatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan produk seperti Dana Dagangan Bursa (ETF), komoditi, anuiti dan REIT.

Katanya, pelabur mewah di Malaysia juga menyokong kepelbagaian portfolio kewangan, kerana mereka memegang secara purata lima produk dan kelas aset dalam portfolio, lebih tinggi daripada purata di peringkat global iaitu empat produk dan kelas aset.

“47 peratus juga mempunyai rancangan untuk melabur lebih banyak dalam pasaran lain terutamanya di Singapura, China dan Amerika Syarikat (AS).

“Tujuh daripada 10 pelabur mewah di Malaysia menyatakan bank, syarikat insurans dan penasihat kewangan sebagai sumber utama panduan pengurusan kekayaan mereka,” katanya.

Ketua Negara bagi Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip, berkata Snapshot Pelabur Mewah HSBC menyediakan semakan mengenai tahap tingkah laku pelaburan dan trend individu mewah di 11 pasaran.

Beliau berkata, berdasarkan hasil tinjauan di Malaysia, pelabur mewah mengukuhkan portfolio mereka dengan menggunakan strategi kepelbagaian aset dan menggunakan lebih banyak tunai untuk dikembangkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini