comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Hak pengguna penerbangan akan ditambah baik

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia akan dipinda bagi melindungi kepentingan pengguna -FOTO: NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sasar untuk memuktamadkan rundingan membabitkan pindaan terhadap Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2022 menjelang Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi MAVCOM, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata pihaknya sudah mengadakan proses rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk syarikat penerbangan berhubung MACPC pada tahun lalu.

Katanya, beliau berharap untuk mengadakan sesi susulan dengan pihak penerbangan pada bulan ini bagi membincangkan mengenai perkara-perkara dalam MACPC yang perlu diperhalusi dan ditambah baik.

“(Selepas mendapat) kelulusan daripada dalaman (pihak berkuasa), kami berharap ia akan dapat digazetkan kelak,” katanya pada taklimat Airline 101 untuk pengamal media berkaitan industri penerbangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia Aviation Group, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud.

Pindaan terbaharu itu menyaksikan penambahbaikan dari segi perlindungan berkaitan bayaran balik, hak-hak penumpang, pas perjalanan serta penerbangan yang dikeluarkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan disebabkan pembatalan penerbangan.

Usaha penambahbaikan MACPC ini adalah yang kedua sejak penerbitan asal MACPC pada Julai 2016, berikutan semakan pertama MACPC pada tahun 2019.

Pindaan terhadap MACPC pada 2019 menyaksikan penambahbaikan seperti penghapusan caj-caj tersembunyi semasa penerbangan serta keperluan syarikat penerbangan memaparkan MACPC dengan jelas bagi rujukan pengguna.

Pindaan berkenaan bertujuan untuk memastikan ketelusan yang lebih baik mengenai kewajipan penyedia perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna serta menggariskan hak-hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna penerbangan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini