comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Hanya tinggal butiran akhir, perjanjian langganan saham MNO-DNB akan dimuktamad

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Perjanjian langganan saham (SSA) antara lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan Digital Nasional Bhd (DNB) masih belum dimeterai susulan beberapa butiran yang perlu dimuktamadkan, menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Terdapat satu atau dua soalan akhir yang telah dibangkitkan oleh MNO. Saya berjumpa dengan mereka pada hari Jumaat lepas. Kami telah berkongsi draf perjanjian langganan saham pada hari Isnin dan kami harap dapat memuktamadkan satu atau dua butiran hari ini,” katanya kepada media selepas merasmikan program PNB Planet Cyber 2023 anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Lima MNO terlibat ialah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Mengulas mengenai model dwirangkaian, kerajaan akan mengumumkan rangkaian kedua serta ‘Entiti B’ selepas DNB mencapai liputan 5G sebanyak 80 peratus bagi kawasan berpenduduk.

Setakat Oktober, negara telah mencapai liputan sebanyak 73 peratus.

Selepas itu, ia bergantung kepada MNO dalam mencapai kata sepakat untuk berada dalam ‘Entiti A’ atau Entiti B’ atau sama ada dimuktamad oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Tambah beliau, tiada syarikat asing yang akan menyertai dwirangkaian 5G di Malaysia setakat ini.

Loading...
Terkini